akhbar kelmarin, 30032009 terdapat artikel berkaitan dengan kes buli yang bertajuk, "pembuli ada masalah emosi". jadi di sini, saya ambil kesempatan untuk simpulkan sedikit tentang isu buli yang semakin menuju ke tahap kritikal yang jika tidak dibendung pasti akan menuju kehancuran moral remaja terutamanya.

Sejak kebelakangan ini, kes buli sering kita perhatikan di akhbar-akhbar mahupun di kaca televisyen. Boleh dikatakan setiap minggu pasti akan kita dengar. Jadi bolehlah saya katakan di sini bahawa kes buli ini sudah menjadi masalah serius di negara kita. Dan boleh juga saya katakan kes ini kebanyakan melibatkan golongan remaja melayu. Jarang-jarang sekali kita dengar bangsa lain yang terlibat. Mengapa perkara sebegini boleh terjadi sedangkan sejak dari kecil lagi kita dididik dengan penuh tatasusila, kesopanan dan penuh adab? Apakah penyebab atau faktor yang mendorong remaja ini menjadi pembuli? Bagaimana jika yang menjadi mangsa buli itu adalah adik-adik kita sendiri atau yang membuli itu sendiri adalah adik kita sendiri? Pernahkah anda semua, sahabat-sahabat semua terfikir akan masalah ini?

Dalam pembentangan mini bajet untuk 2010 baru-baru ini, RM 1.95 billion telah kerajaan peruntukkan untuk member yang terbaik kepada generasi muda termasuklah sudut pendidikan terutamanya di samping melahirkan melahirkan generasi Ulul Albab – berpegang teguh kepada ajaran Islam dan berilmu pengetahuan. Namun, apa yang telah terjadi sekarang adalah sebaliknya, pelbagai masalah timbul yang melibatkan golongan generasi masa depan negara kita, antaranya kes buli ini. Tidakkah sedih mendengar berita seperti ini? Apakah yang akan terjadi kepada masa depan negara jika masalah seperti ini masih tidak dapat diselesaikan sedangkan merekalah yang akan mewarisi keamanan negara suatu masa nanti? Bukan hanya negara sahaja, tetapi juga keharmonian keluarga juga turut terjejas. Kelihatan seperti masalah kecil tapi akibat jangka masa panjang, amatlah besar. Sama-samalah kita renungkan.
Seperti yang kita sedia maklum, Islam amatlah menitikberatkan keharmonian hidup dalam bermasyarakat dan melarang sama sekali perbuatan keji seperti buli selain memerintahkan umatnya berbaik sesame manusia tidak kita walaupun berlainan bangsa dan agama.

Firman Allah, “dan bertakwalah kepada Allah dgn (mempergunakan) namaNya, kamu saling meminta antara satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
[An-Nisa’:1]
Sekarang kita lihat pula dari sudut faktor utama yang menyebabkan terjadinya masalah buli ini. Pertamanya kerana mereka berasa puas apabila menyakiti mangsa secara fizikal dan juga lisan. Dan hal ini akan mendorong mereka berterusan melakukannya. Keduanya dapat dilihat dari sudut latar belakang keluarga yang bermasalah. Seterusnya pengaruh rakan dan media serta nilai peribadi yang rendah. Perkembangan emosi dan psikologi amat berkait rapat dengan tumbesaran mereka. Jadi kesimpulan yang dapat kita katakana ialah pembuli sebenarnya menghadapi masalah emosi kerana mereka memperoleh kepuasan dengan melihat penderitaan orang lain. Dapat juga kita simpulkan bahawa kesihatan emosi ini banyak bergantung kepada kesihatan hati keranan hati yang sihat membantu melahirkan emosi manusia yang tenang.
Firman Allah, “dalam hati mereka terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” [Al-Baqarah:10]

Sekali lagi dapat kita simpulkan, andai berlau konflik dalaman yang melibatkan hati, dapatlah diselesaikan dengan kembali kepada ajaran agama kita, seperti zikir. Zikir seperti yang kita semua sedia maklum dapat menghalang diri kita daripada melakukan perkara buruk – amar makruf nahi mungkar, di samping dapat menghilang sifat riak dan takbur dalam diri. Menurut kajian, amalan berzikir akan menjadikan bebrapa kawasan otak kita bertambah aktif jika berterusan mengulangi kalimat-kalimat Allah ini. Otak yang segar ini seterusnya akan mempengaruhi hati untuk terus melakukan kebaikan.

Oleh yang demikian, untuk melahirkan generasi Ulul Albab, kita sebagai ahli masyarakat haruslah kembali kepada masyarakat dengan mempersoalkan diri kita akan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita dalam memelihara dan menjamin keharmonian masyarakat segenap lapisan, remaja terutamanya. Janganlah hanya mementingkan diri tanpa menghiraukan masalah sekeliling kita yang sudah semakin tenat. Sanggupkah kita melihat anak-anak kita, adik-adik kita, saudara-saudara seagama atau pun bukan seagama dengan kita menuju kehancuran moral. Sama-samalah kita berfikir dan bertindak.
sebarang pandangan berkaitan dengan isu ini atau penulisan saya, harap dapat beri teguran atau komen atau apa-apa saja.
“dari masyarakat kepada masyarakat”


Post a Comment